Kerjaya politik Syed_Ahmad_Syed_Mahmud_Shahabuddin

Apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ditubuhkan pada tahun 1946, Tun Syed Ahmad menyertai parti politik dan menjadi ahli UMNO di Cawangan Alor Setar, Kedah. Mulai tahun 1951 hingga tahun 1954 beliau dilantik menjadi Penolong Setiausaha UMNO Negeri dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha UMNO hingga tahun 1967.


Semasa pembabitannya dalam politik, beberapa jawatan telah disandang beliau di antaranya ialah Ahli Dewan Undangan Persekutuan dari tahun 1955 hingga tahun 1959 dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah dari tahun 1958 hingga tahun 1967. Pada tanggal 14 Disember 1967, beliau telah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang keempat menggantikan Dato' Syed Omar Shahabuddin yang telah kembali ke Rahmatullah pada 7 Disember 1967. Jawatan Menteri Besar Kedah telah disandang oleh beliau sehingga tahun 1978. Sebagai Menteri Besar, beliau juga menyandang jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ketua Barisan Nasional Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Malaysia.

Pada tahun 1967, beliau turut dilantik menjadi Ahli Dewan Negara selama dua tahun sehingga tahun 1969. Seterusnya beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri Malaysia dari tahun 1978 hingga tahun 1980 dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dari tahun 1981 hingga 1988. Beliau telah dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Negeri Melaka pada tahun 1989 hinggalah 2004 menggantikan Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan.

Dalam masa pentadbiran beliau, perhatian ditumpukan bagi mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negeri bersama-sama penyokong dalam kerajaan, khususnya Ahli-ahli Exco sebagai pembuat dasar, sementara para pegawai kerajaan bertanggungjawab melaksanakan dasar. Tun Syed Ahmad seringkali mengetuai rombongan kerajaan dan ahli-ahli ekonomi melawat negara-negara luar bertujuan mempromosikan Kedah dan meyakinkan para pelabur tentang potensi pelaburan dan insentif-insentif yang disediakan di Negeri Kedah. Walaupun perhatian tertumpu pada sektor perindustrian, namun sektor pertanian tetap diberi perhatian. Projek raksasa yang menjadi kebanggaan kerajaan yang dikenali sebagai Rancangan Pengairan Muda dibina. Nyatalah projek itu memperlihatkan hasrat kerajaan di bawah pimpinan beliau untuk mengekalkan identiti tradisi Negeri Kedah Darul Aman sebagai Jelapang Padi Malaysia. Pandangan jauh beliau untuk membawa negeri ini bersaing antara sektor pertanian dan perindustrian telah berjaya mengangkat taraf hidup rakyat dengan perkapita yang meningkat dari tahun ke tahun. Beliau juga berjaya mengurangkan kadar pengangguran dan kadar kemiskinan di Negeri Kedah.